foto header my001

Perkhidmatan

1) Apakah rawatan yang boleh saya dapatkan di klinik pergigian primer?
- Tampalan gigi berlubang (sementara atau kekal)
- Cucian gigi (penskaleran)
- Rawatan kanal akar
- Gigi palsu (penuh atau sebahagian)
- Cabutan gigi
- Sapuan flourida dan sealan fisur (untuk kanak-kanak)
2) Bilakah waktu operasi klinik pergigian kerajaan di Daerah Sabak Bernam?
Klinik pergigian dibuka setiap hari kecuali sabtu, ahad dan cuti kelepasan, tetapi rawatan pesakit luar hanya disediakan pada hari dan waktu tertentu mengikut klinik. Sila rujuk jadual rawatan di klinik pergigian berdekatan anda

3) Apakah yang dimaksudkan dengan rawatan kecemasan dan di manakah saya boleh mendapatkan rawatan tersebut di luar waktu operasi klinik primer?

Kes kecemasan pergigian adalah keperluan rawatan segera yang melibatkan kecederaan pada tisu keras (patah gigi atau tulang rahang) dan tisu lembut (bibir, gusi dan kulit luar sekitar mulut) atau luka pendarahan daripada kemalangan, sukan atau cabutan gigi.
 Jika anda memerlukan rawatan kecemasan di luar waktu operasi klinik primer, anda boleh terus ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam.
4) Bolehkah saya terus ke Jabatan Kecemasan jika gigi saya sakit di waktu malam?
Elakkan daripada berbuat demikian kerana sakit gigi bukan kes kecemasan. Kebiasaannya sakit gigi akan berkurangan jika anda mengambil ubat penahan sakit seperti 2 biji (1000mg) Paracetamol (Panadol) atau 500mg Mefenamic acid (Ponstan). Sila ke klinik gigi berhampiran pada keesokan hari untuk mendapatkan rawatan.
5) Apakah dokumen yang perlu dibawa semasa lawatan pertama?
a) Warganegara ;
- Kad pengenalan asal (MyKad, MyKid atau sijil beranak, MyPR)
- Kad pesara (bagi pesara kerajaan) asal dan 1 keping salinan
- Surat pengesahan jabatan (bagi penjawatan awam) atau surat pengesahan sekolah (bagi murid sekolah) - sah 3 bulan dari lawatan pertama.
- Buku rekod kesihatan ibu mengandung (buku merah) untuk pesakit yang mengandung.
- Kad OKU asal dan 1 keping salinan
b) warganegara asing dan pemastautin tetap;
- Kad pengenalan asal (Passport, MyPR)
- Kad UNHCR asal dan 1 keping salinan
- Sijil nikah asal dan 1 keping salinan jika berkahwin dengan warganegara
- Buku rekod kesihatan ibu mengandung (jika ada) untuk pesakit yang mengandung
6) Berapakah caj rawatan yang dikenakan di klinik pergigian kerajaan? Anda boleh merujuk caj rawatan yang dikenakan di sini untuk klinik pergigian primer dan di sini untuk klinik kepakaran pergigian.
Sila ambil perhatian bahawa;
a. Pengecualian bayaran untuk warga emas (60 tahun ke atas) adalah untuk caj pendaftaran/perundingan sahaja. Bayaran untuk rawatan tetap dikenakan seperti biasa.
b. Pengecualian bayaran bagi penjawat awam, OKU, ibu mengandung dan murid sekolah (warganegara dengan pengesahan) hanya terhad kepada rawatan asas sahaja. Bayaran
    untuk gigi palsu dan prostesis lain seperti korona, jambatan atau implan adalah sama seperti yang telah ditetapkan.
c. Caj rawatan untuk anak tiri kepada warganegara, yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan atau pemastautin tetap adalah seperti caj warga asing, walaupun mempunyai
    surat pengesahan sekolah.
d. Pemegang kad UNHCR akan dicaj separuh daripada caj warga asing.
7) Apakah perkara yang perlu diambil perhatian semasa mendapatkan rawatan pergigian? Sila maklumkan kepada petugas kaunter jika anda:
a. Mengandung
b. Mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah (tinggi/rendah), penyakit hati/jaundis, sawan atau asma dan lain-lain seperti kegagalan buah pinggang dan sebagainya.
c. AIDS, Radang hati/hepatitis (terutamanya B dan C), Batuk kering (Tibi) dan sebagainya
8) Bolehkah warga asing mendapatkan rawatan pergigian di klinik kerajaan?
Hanya kes-kes yang melibatkan rawatan kecemasan dan kadar caj berdasarkan Akta FI (Kesihatan) 1951 untuk Warga Asing.

Cetak Emel